Sijil Kemahiran Malaysia Untuk 300,000 Pekerja

KOTA KINABALU 6 Ogos - Kementerian Sumber Manusia berharap dapat mentauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada 300,000 pekerja mahir dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, sijil itu diberikan kepada rakyat tempatan yang mahir dalam sesuatu bidang melalui pengalaman bekerja terdahulu tetapi tidak mempunyai sijil.

"Pengiktirafan ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang sudah ada kemahiran, sama ada belajar sendiri atau mendapat kemahiran itu semasa dia bekerja dengan majikan, tetapi tiada latihan formal.

"Misalnya, bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia 1, seseorang itu mestilah mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya enam bulan dalam bidang berkenaan, SKM 2 mesti mempunyai pengalaman setahun, SKM 3 pengalaman dua tahun dan seterusnya untuk sijil ke peringkat tinggi,”katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sepanggar, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak September 2000, kementerian itu sudah memberikan sijil kepada seramai 55,853 orang yang mempunyai pengalaman dan kemahiran terdahulu di seluruh negara termasuk sekitar 1,000 orang di Sabah. – Bernama

Pusat Bertauliah Institut Generasi. Powered by Blogger.

Followers